Lina Rosli Diterbitkan 11 April 2023

Apa Itu Tuberkulosis? Adakah Ia Berbahaya?

Tahukah anda bahawa batuk kering atau Tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit?

Ya, Tuberkulosis ini berlaku disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis yang selalunya menjangkiti  paru-paru. Namun, ia juga boleh menjangkiti bahagian badan yang lain seperti tulang, sendi, organ pembiakan dan perkumuhan, usus, kulit, selaput otak (tuberculous meningitis) dan lain-lain.

Untuk pengetahuan anda, Tuberkulosis ini juga telah menjadi antara masalah kesihatan utama di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 9 juta orang menghidap penyakit TB setiap tahun dan telah menyebabkan sekitar 2 juta kematian setiap tahun

Di Malaysia sahaja, setiap tahun, telah berlaku antara 20,000 hingga 25,000 kes TB direkodkan yang mengakibatkan purata 1,500 hingga 2,000 kematian.

Bagi yang tidak mengetahui juga, Tuberkulosis ini adalah satu penyakit lama yang ditemui pada tahun 1880an dan ianya masih wujud sehingga kini. Oleh sebab itu, pakar melabelkannya sebagai penyakit endemik di Malaysia, sama seperti demam denggi. Biarpun kesedaran awam adalah tinggi bagi kedua-dua penyakit tersebut, ramai di antara kita yang jarang memikirkan kewujudan dan ancaman TB dalam masyarakat. 

Apa Itu Tuberkulosis?

TB berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis. Ia menyerang bahagian-bahagian berbeza pada tubuh badan. Paru-paru yang dirujuk sebagai tuberkulosis paru-paru (PTB), adalah organ paling biasa diserang.

Tuberkulosis ekstrapulmonari (EPTB) adalah istilah yang digunakan untuk mengkategorikan TB apabila ia muncul di bahagian lain badan, termasuklah nodus limfa, tulang (kebiasaannya tulang belakang) dan dalam kes yang jarang berlaku, pada usus. Pesakit yang imunnya tertindas seperti orang yang menghidap HIV, bakteria TB ini boleh menyerang otak. 

Siapakah yang cenderung terdedah kepada TB? Jawapannya adalah orang tua, orang yang rendah imuniti seperti pesakit kencing manis, orang yang imunnya tertindas seperti orang yang menjalani terapi steroid kronik dan penghidap HIV.

Selain itu, kanak-kanak juga lebih berisiko kerana sistem imun mereka masih lagi berkembang. Sebab itulah mereka diberikan suntikan BCG. Malah, individu yang tinggal di ruang kediaman yang sesak seperti pekerja asing dan orang yang kurang berkemampuan juga boleh terdedah kerana bakteria lebih mudah disebarkan.

Apakah Gejala Atau Simptom Utama Tuberkulosis?

Terdapat 4 simptom utama TB iaitu:

  • batuk kronik
  • kuat berpeluh pada waktu malam
  • penurunan berat badan
  • peningkatan suhu badan yang berulang pada waktu petang

Bukan itu sahaja, dalam manifestasi EPTB, penyakit TB menampakkan diri melalui nodus limfa yang membengkak, sakit belakang kronik dan tulang rapuh dan perut sensitif. Jika sudah menjangkiti otak, ia boleh menyebabkan sawan, sakit kepala, sering keliru dan perubahan dalam personaliti pesakit. 

Harus diingatkan bahawa permulaan simptom TB adalah perlahan dan tidak ketara. Oleh itu, ia mungkin tidak mencetuskan sebarang amaran sehinggalah penyakit itu sudah teruk seperti mula mengalami batuk darah.

Langkah Diagnosis Tuberkulosis

Diagnosis TB ditentukan melalui beberapa ujian. Untuk PTB, x-ray pada paru-paru akan menunjukkan “rongga” yang merupakan tanda jelas TB. Terdapat juga ujian air liur dan ujian kulit. Dalam kes EPTB, biopsi tulang dan bahagian yang bengkak perlu dilakukan. 

Bila anda perlu berjumpa doktor? Peraturan praktikalnya ialah, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor jika anda batuk berterusan selama dua minggu. Dengan mengambil kira keadaan umum kesihatan anda, doktor akan tahu sama ada perlu melakukan ujian TB atau tidak.

Jumpa doktor juga jika anda berpeluh-peluh pada waktu malam tanpa sebab dan mengalami penurunan berat badan bersekali nodus limfa membengkak atau sakit belakang yang kronik.

Adakah Tuberkulosis Boleh Berjangkit?

Berita baiknya ialah walaupun TB berjangkit, ia tidak menular seperti COVID-19. Sama seperti semua penyakit berkaitan dengan sistem pernafasan, TB disebarkan melalui titisan air yang datang dari batuk atau air liur.

Walau bagaimanapun, jangkitan ini boleh berlaku apabila individu betul-betul berhubung rapat dan dalam situasi di mana berlakunya pendedahan yang berpanjangan. Secara umumnya, lebih daripada lapan jam sehari.

Seseorang yang mempunyai TB dorman atau tidak aktif, tidak boleh menjangkiti orang lain, termasuklah mereka yang menghidap EPTB, tanpa jangkitan itu diam di dalam paru-paru.

Rawatan Untuk Tuberkulosis

Menurut pakar, Prof Dr James Koh, Ketua Bahagian Perubatan di Akademi Perubatan IMU, kebiasaannya, rawatan TB akan memakan masa yang lama iaitu sekitar tempoh enam bulan sehingga setahun, bergantung pada bahagian badan yang terkesan.

Pengambilan ubat-ubatan yang tepat pada masanya dan mengikut preskripsi adalah sangat penting. Jika pesakit tidak melengkapkan rawatan penuh atau tertinggal dos, bakteria tersebut akan menjadi rintang ubat atau imun kepada ubat-ubatan yang diberi. Ini akan lebih memburukkan keadaan. TB rintang pelbagai ubat (MDR TB) lebih dikenali sebagai superbugs

Dan individu yang mengalami MDR TB boleh menyebarnya kepada orang lain. Malang bagi satu orang kerana apabila bakteria itu sudah tahan ubat, maka ia menjadi sangat sukar untuk dirawat. Kes-kes begini memerlukan banyak ubat alternatif yang melibatkan suntikan dan terapi yang lebih lama dengan tempoh sehingga dua tahun.

Sebaik sahaja rawatan dimulakan, seseorang tidak akan dijangkiti dalam masa sepuluh hingga 14 hari. Di hospital, pesakit akan diasingkan tetapi tiada tempoh kuarantin yang ditetapkan. Apa yang paling penting ialah memakai topeng dan basuh tangan anda dengan kerap.